Part 2 : Travelog haji saya dan suami

Gambar kenangan di Masjid quba' , Madinah bersama Muttawif Huzaifah, suami saya (Jalaludin Abd Aziz)  dan saya.

Seronok bercampur sedih , gembira, takut. Semua tu adalah perasaan pertama yang timbul bila terima surat tawaran mengerjakan haji pada tahun 2011. Seingat saya masa tu awal bulan puasa. Saya terus terima , mula-mula sekali yang terfikir ialah bagaimana untuk saya uruskan persekolahan dan penjagaan 2 puteri saya yang berusia 3 tahun dan 7 tahun.

Allah Maha Kaya. Diberinya saya dan suami idea untuk memindahkan anak-anak ke kampung. 2 Bulan sebelum berangkat, saya terus mendaftarkan anak sulong saya ke sekolah di Jasin Melaka. Kami mohon dibawah Jabatan Pelajaran Jasin. Oleh kerana sessi persekolahan hanya tinggal 3 bulan lagi , surat rasmi tidak diperlukan. Hanya pertukaran sementara dengan syarat anak saya bersekolah semula di sekolah asal pada sessi persekolahan tahun depan. Saya tukarkan awal. Biar jauh sikit kami pergi kerja. Kami juga terus berpindah secara sementara di rumah ibu mertua di Kemendor. Ini bertujuan untuk biasakan persekolaha anak sulong saya tu dengan persekitaran baru. Anak saya bersekolah SJK (C) Sin Min Gemencheh. Alhamdulillah,  Guru Besar SJK (C) Kemendor sudi memberikan penempatan sementara kepadanya. Si adik pulak yang berumur 3 tahun, saya amanahkan penjagaan pada anak saudara perempuan berumur 19 tahun yang kebetulan bekerja dengan kami. Dialah yang menjaga anak-anak kami sepanjang kami di Tanah Suci. Dibantu oleh ibu mertua saya dan ahli keluarga yang lain. Selesai satu urusan.

Lepas tu, bab kerja pulak. Semua urusan kerja, bisnes Farmasi Duyong , saya serahkan tanggungjawab sementara kepada rakan kongsi. Farmasi Tuah pula saya buat senarai tanggung tugas pada staf senior. Semua perlu diselesaikan. Saya tidak mahu terfikir-fikir urusan dunia yang tidak selesai yang mengganggu perjalanan kembara haji nanti. Memang betul, saya pernah terserempak dengan jemaah haji yang sakit sampai masuk hospital. Punca utamanya, tekanan sebab masih memikirkan anak-anaknya di Malaysia. Bukan ke tu akan menyusahkan diri sendiri.

Setelah selesai berkursus Asas, Kursus Perdana Haji. Akhirnya saya dan suami berangkatlah ke Tanah Suci . Kami kumpulan KT 34, pakej Muhassasah dengan Tabung Haji. Alhamdulillah..Terus ke Madinah. Ya Allah...ni pengalaman pertama saya dapat menjejakkan kaki di bumi Anbia. Perasaan yang sangat mengujakan. Tidak kira penat ke, saya mesti nak pergi solat di Masjid Nabawi setiap hari yang saya boleh bersolat. Pernah sekali je , dapat menziarahi makam Rasullah dan dapat solat di Raudhah. Ini kerana musim haji, Jemaah sangat ramai. Bertolak-tolak . Kebetulan hanya 8 hari sahaja berada di Madinah. 3 hari tu saya uzur (period). Duduk di hotel sahaja.

Lepas tu, kami terus bertolak ke Mekah. Semua ini pengalaman baru bagi saya. Lupa nak bagitahu, pakaian tidak perlulah bawak banyak sangat. 6 pasang sahaja. Saya banyak bawa seluar panjang putih dan 2 pasang telekung. Sebab sini mudahnya pakai jubah dan berseluar panjang. Cuaca di Mekah waktu siang adalah panas berangin, kalau pakai jubah je kang...silap2 terbuka aurat pulak bila angin bertiup kencang. Saya cadangkan bawak benang dan jarum. Beli jubah dekat sini. Jika panjang sangat boleh jahit di bawahnya. Kami melakukan Haji Tamatu'. Ini bermakna kami perlu menjalankan umrah pada mula-mula memasuki Mekah. Setelai selesai, sempat juga menziarahi beberapa tempat bersejarah di Mekah dan Madinah.

Tibanya Masyair haji. Iaitu perjalanan ke 3 tempat yang bermulanya ibadah haji, iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina. Bermula pada 9 Zulhijjah. Madrasah haji ini sangat menguji fizikal dan mental. Terutamanya bila bilangan jemaah haji adalah ramai. Dengan kemudahan asas yang kurang terutamanya tandas dan tempat tidur. Saya anggap itu adalah ujian . Dah 34 tahun hidup selesa. Hanya beberapa hari Allah uji dengan kehidupan yang serba kekurangan ni, saya sentiasa belajar muhasabah diri. Saya tidak dapat ceritakan satu per satu .Terlalu banyak pengalaman yang dikutip. Cadangan saya pada sahabat semua yang belum menunaikan haji, sentiasalah  berniat dan berdoa pada Allah supaya satu hari nanti Allah akan  memberi peluang juga. Syarat pertama, mestilah mendaftar dulu di Tabung Haji. Mesti ada usaha dari kita.

Oh ye, sepanjang saya berada di bumi Arab ni, saya berjumpa dengan ramai jemaah dari negara lain. Ada yang berkulit hitam, kulit putih, ada yang tinggi, rendah, macam-macam saiz. Itulah salah satu kelebihan ibadah haji. Iaitu dapat berkenalan dengan semua jemaah seluruh dunia. Saya rasa seperti sudah pergi seluruh dunia, bila dapat berkomunikasi dengan sahabat-sahabat baru ni yang pandai berbahasa Inggeris. Bertukar-tukar pendapat dan pengalaman negara masing-masing.

Sebelum saya berakhir, saya juga ingin cadangkan sahabat yang bakal mengerjakan umrah dan haji, silalah bawa keperluan ubat-ubatan asas. Di sini saya sertakan senarai ubatan sebagai rujukan yang boleh didapati di outlet farmasi komuniti di Malaysia termasuk Farmasi Duyong, Melaka dan Farmasi Tuah, Negeri Sembilan :

1. Ubat demam (paracetamol)- 1keping
2. Ubat selsema / alahan  (piriton tab)-1 keeping
3. Ubat batuk pil -1 keeping
4. Pelembab bibir dan krim muka
5. Ubat kumur 100ml
6. Minyak angin cap kapak
7. Minyak panas atau Krim panas
8. Supplement seperti vitamin C 500mg, 30biji

Ubat-ubatan memang ada disediakan di Klinik Tabung Haji. Tetapi lebih mudah jika kita bersedia awal supaya jimat masa menunggu untuk dapatkan rawatan asas dan belanja perubatan.

Kini, dah hampir 2 tahun pulang ke tanah air. Pasca haji lagi mencabar. Apa tidaknya sibuk dengan urusan dunia yang tidak pernah selesai. 3 Perkara yang saya belajar semasa Madrasah haji. Iaitu sentiasa ingatkan diri untuk solat awal waktu, amalkan solat berjemaah sekerap mungkin dengan ahli keluarga dan banyakkan berzikir dan bersedekah. Saya sentiasa berdoa supaya saya dan keluarga akan dijemput menjadi Tetamu Allah lagi. Sentiasa bersangka baik dengan Allah.insyaAllah...

Doakan saya ye. Terima kasih.








Comments

Popular posts from this blog

Kisah pertama saya sebagai usahawan farmasi

Pembekal Katil Pesakit Di Melaka Dan Negeri Sembilan Siri 2

Kalori makanan buat kita gemuk?